Thursday, December 3, 2009

Isteri bukan kuli/hamba suami

Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa perempuan itu dua macam iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Oleh yang demikian menurut mazhab Syafi‘è tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluara yang kebiasaannya mempunyai pembantu. (Raudhah At-Talibin: 6/453-455)
Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gajgi, makan minum dan pakaian (sekali setiap enam bulan). (Raudhah At-Talibin: 6/453-455)
Pekerjaan yang wajib dilakukan oleh seorang pembantu isteri itu hanyalah mengenai hal-hal yang khusus dan diperlukan oleh isteri sahaja seperti menyediakan makan minum isteri, membasuh pakaian isteri, memasak makanan isteri dan mengangkat air untuk mandian dan untuk minuman.
Ada ulamak menyebutkan bahawa kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, bukanlah menjadi kewajipan isteri dan pembantu tersebut; isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela, bahkan ia adalah tugas suami sendiri atau ditangani oleh orang lain dengan cara upah dan sebagainya. (Al-Majmuk: 19/369 & I‘anah At-Thalibin: 4/114-115). Hukum ini adalah hasil ijtihad ulamak dan ia bertentangan dengan urf atau kebiasaan dalam masyarakat. Sedangkan urf dan kebiasaan itu boleh dipakai dalam menentukan dan menetapkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya, tetapi bukan sebagai kewajipannya yang mutlak.
Beberapa alasan berikut juga boleh dijadikan hujah:
1. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada para isteri yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)
Sebahagian ulamak tafsir menta’wilkan ayat di atas, supaya para isteri berkhidmat dengan baik ke atas para suami sepertimana para isteri berbuat taat kepada suami mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (At-Thabari: 2/613-614)
Pengarang kitab Fatawa Mu‘asyirah ada menyebutkan mengenai maksud perkataan al-makruf dalam ayat di atas, beliau berkata yang maksudnya, “Khidmat seorang isteri kepada suaminya adalah makruf (kebaikan). Adapun membuat perempuan (isteri) itu bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah seperti menyapu, mengisar gandum, menguli tepung, membuat roti, membasuh … (lain-lain lagi), bukanlah perkara yang makruf, (kerana) lelaki itu bekerja dan membanting tulang di luar rumah, maka demi keadilan sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah tersebut. (Fatawa muàsyirah: 1/506)
2. Suami adalah qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)
Oleh yang demikian, isteri hendaklah menjaga kepentingan suami. Maka jalan yang serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya orang Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya membantu. Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Rasulullah SAW juga melakukan perkara-perkara tersebut, sementara isteri pula bekerja di luar seperti berniaga dan sebagainya di atas kerelaan suami isteri.
3. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan kehidupan harian Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai suami dan isteri, yang masing-masing itu memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain; Rasulullah SAW dalam membantu dan menolong ahli keluarga Baginda telah dijadikan contoh tauladan oleh umat manusia. Baginda sebagai seorang Rasul sekaligus sebagai pemimpin negara tidak camah mata kepada ahli keluarga Baginda.
Ini terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda SAW sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri telah menjahit baju dan menmpal kasut atau seumpama ini.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu para isteri itu adalah sunnah Rasulullah SAW, dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian orang awam sebagai “queen control”. Maka perbuatan tersebut hendaknya dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga.
Islam sangat menggalakkan umatnya bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan lain lebih-lebih lagi suami isteri. Dalam perkara tolong menolong dan bantu membantu ini Allah Ta‘àla telah menjelaskan dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)
FirmanNya yang lain yang tafsirnya, “Dan mereka pula bersegera pada membuat dan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih.” (Surah Ali Imran, ayat 114)
Perkara sedemikian juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.
Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan di atas, dalam apa jua keadaan suami mempunyai satu darjat kelebihan ke atas seorang perempuan (isteri), kerana suamilah yang berkuasa mengawalnya dan memberi mereka nafkah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri-isteri) .” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)
Kesimpulannya, seorang isteri adalah menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik, maka begitulah juga suami menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik juga, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (tidak dilarang oleh syarak).” (Surah Al-Baqarah, ayat 228

No comments:

Post a Comment